Kamis, 13 Februari 2014

Lima Menteri Besar Dan Ketua Menteri ‘Selamat’…Empat DITENTANG!


Ini baru pesta demokrasi.

Kalau ikut sistem lama memang sukar untuk berentap dengan mereka yang berjawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Namun dibawah sistem baru yang tidak memerlukan pencalonan hanya lima saja Menteri Besar dan Ketua Menteri yang boleh goyang kaki berdepan dengan pemilihan UMNO kali ini.

Sebaliknya empat yang lain terpaksa mengharungi cabaran ditentang dalam pertandingan jawatan Ketua UMNO Bahagian.

Dulu biasanya calon yang hendak bertanding menentang Menteri Besar atau Ketua Menteri sangkut kerana tidak dapat pencalonan yang mencukupi kuota yang ditetapkan.

Kini ‘ halangan’ itu tidak wujud lagi.

Cukup syarat sahaja sebagai ahli UMNO mereka boleh daftar diri untuk bertanding.

Lima yang menang tanpa bertanding bila tempoh serah borang pencalonan tamat petang Sabtu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (Jerlun); Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (Lumut); Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (Bentong); Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang); dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (Libaran).

Empat yang ditentang ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron; dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Mohamad dicabar oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin yang juga bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Ahmad pula dicabar oleh bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman, Mat Dalam Awang bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Bagi jawatan Ketua UMNO Tangga Batu, Idris dicabar oleh seorang ahli biasa dari UMNO Cawangan Tok Suboh, Baddrul Hissham Abd. Aziz.

Manakala bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Azlan berdepan dua pencabar iaitu Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh.

Berbanding tiga rakan sejawatnya Azlan kali pertama tawar diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian. – Agendadaily.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar